suria

Kes Bunuh Syafiah Dipindah Ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

KUALA KUBU BAHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes pemandu teksi yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun pada Februari lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Zuraida Zakaria kemudian menetapkan 22 April ini untuk sebutan kes itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorjidah Mohd Jusan semasa mengemukakan permohonan itu turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesemua laporan kimia dan bedah siasat telah siap sepenuhnya.

Mohd Fazli Azri Jamil, 28, didakwa membunuh Syafiah Humairah Sahari di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama Batang Kali, Selangor, pada 6.30 petang, 25 Februari lepas.

Tertuduh yang diwakili peguam P. Kumar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohd Fazli yang ditahan di Penjara Tapah sejak ditangkap pada 26 Februari lepas dibawa ke mahkamah pada pukul 9.15 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Turut kelihatan di mahkamah sejak awal pagi ialah ibu bapa dan saudara terdekat tertuduh. - BERNAMA

Artikel Lain