suria

Cadangan Levi Atas Produk Perabot Import Tidak Wajar

KUALA LUMPUR: Cadangan bagi mengenakan levi atau duti import ke atas produk perabot yang diimport, termasuk dari Vietnam bagi membantu industri tempatan menampung kos logistik tidak wajar.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, cadangan itu tidak selaras dengan komitmen Malaysia mengikut Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

"Kerajaan pada masa ini tidak mengenakan sebarang duti ke atas pengimportan perabot kayu dan rotan. Walau bagaimanapun, cukai jualan sebanyak 10 peratus dikenakan.

"Di bawah perjanjian AFTA yang dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Jan 2010, komitmen Malaysia ialah untuk tidak mengenakan sebarang duti ke atas produk-produk perabot kayu dan rotan yang diimport dari negara Asean," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) sama ada kementerian akan mengenakan levi kepada perabot import dan menyalurkan dana itu sebagai subsidi untuk kos logistik kepada peniaga tempatan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata, walau bagaimanapun, para pengeluar perabot Malaysia boleh mengambil peluang daripada liberalisasi perdagangan di bawah AFTA untuk mengimport bahan mentah dan komponen pembuatan perabot dari negara lain termasuk Vietnam pada kos lebih kompetitif.

"Di bawah konsep Rules of Origin (Ketentuan Asal Barang), sekiranya kadar kandungan tempatan dan nilai tambah produk akhir yang dihasilkan melebihi 40 peratus, maka produk tersebut boleh dianggap sebagai keluaran negara.

"Sekiranya kaedah penyumberan luar ini dilaksanakan dengan meluas, Malaysia dijangka mampu menjadi hab pengeluaran perabot," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain