suria

Wanita Jepun Mengaku Tidak Bersalah Edar Dadah

SHAH ALAM: Seorang bekas jururawat warganegara Jepun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine 3 seberat 493 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Oktober tahun lepas.

Mariko Takeuchi, 36, yang berasal dari Tokyo, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Jepun oleh jurubahasa Safril Riza Samsuri.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pemeriksaan Kastam 'D', Unit Khas Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira pukul 9.55 malam pada 30 Oktober tahun lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 9 Ogos depan dan beliau juga dimaklumkan seramai 10 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan.

Siti Mariah turut memerintahkan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Gan Peng Kun dan Aimie Yusreena Yunus membekalkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Mariko diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin dan Imran Hadzalie Abdul Hamid. - BERNAMA

Artikel Lain