suria

Tumbuk Teman Wanita Kerana Enggan Beri Wang

KUANTAN: Seorang lelaki bertindak menumbuk dan memukul teman wanitanya kerana enggan memberi wang yang diminta dari wanita tersebut.

Kejadian berlaku berhampiran kawasan asrama pekerja sebuah kilang di Padang Lalang di sini pukul 9 malam tadi.

"Lelaki berusia 20-an terbabit secara tiba-tiba meminta sejumlah wang daripada teman wanitanya yang berusia 18 tahun, namun selepas permintaannya tidak dituruti, dia bertindak memukul bahu mangsa.

"Malah dia bertindak menumbuk muka dan badan mangsa," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha.

Nordin berkata, lelaki tersebut turut merampas telefon bimbit dan wang RM100 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Beliau berkata, polis sedang memburu lelaki terbabit yang mendampingi mangsa tiga bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Lain