suria

Sindiket Pecah Kereta Ditumpas Di Lembah Kelang

KUALA LUMPUR: Polis percaya ia berjaya melumpuhkan satu sindiket pecah kereta dan curi di Lembah Klang ekoran penahanan lima lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata empat daripada mereka yang ditahan berumur antara 21 dan 23 tahun itu dipercayai terlibat dalam 15 kes pecah kereta di Pantai Dalam manakala seorang lagi disyaki pembeli barang curi.

Beliau berkata tangkapan kesemua suspek itu sebagai rentetan daripada kes seorang wanita berusia 36 tahun yang kehilangan komputer ribanya apabila cermin tingkap kereta Perodua Myvi miliknya dipecahkan ketika beliau sedang makan di kawasan Pantai Baru pada 16 Mac lepas.

Menurutnya bertindak atas maklumat, pada 23 Mac lalu kira-kira pukul 10 malam polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di Taman Bukit Angkasa, sebelum menahan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun keesokan harinya di kawasan surau, di Gasing Indah, Pantai Dalam kira-kira 12.30 pagi.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam beliau berkata polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai membeli komputer riba milik wanita itu, pada 25 Mac di flet Program Perumahan Rakyat (PPRT) Kerinchi.

Wan Abdul Bari berkata pada 26 Mac pula, polis menyerbu sebuah apartmen di Pantai Indah dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Changkat Jering, Perak.

"Premis itu dipercayai dijadikan tempat berkumpul sindiket ini dan hasil pemeriksaan di rumah itu polis turut merampas pisau rambo dan buku lima," katanya.

Wan Abdul Bari berkata pada hari yang sama, polis menahan seorang lagi suspek berusia 22 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kad kredit di kawasan perumahan Permai, Pantai Dalam dan merampas sebuah komputer riba jenama Acer.

Beliau berkata keempat-empat suspek, yang tiga dari mereka merupakan penganggur, dipercayai menjual komputer riba curi dengan harga serendah RM700 hingga RM1,000 sebuah. - BERNAMA

Artikel Lain