suria

Raja Muda Perlis Cadang Malaysia Dijadikan Hub Pendidikan Dunia Islam

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar Malaysia dijadikan sebuah hub pendidikan kepada dunia Islam.

Bertitah pada majlis makan malam sempena Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa (SePMA) dan pelancaran Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Perlis di sini malam tadi, baginda berharap kajian kemungkinan ke arah itu dilakukan termasuk oleh DMDI.

Baginda, yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yakin hasrat itu dapat direalisasikan jika semua pihak mempunyai strategi jelas dan tepat di samping modal intelektual yang berdedikasi serta komited.

"Ketepikanlah fahaman yang sempit yang berasaskan kelompok. Hindarilah perspektif yang jumud dan luaskanlah sempadan pemikiran yang cetek," titah baginda.

Baginda turut menyarankan agar organisasi seperti DMDI menjana rangkaian atau jaringan efektif untuk membantu masyarakat Islam antarabangsa dalam meningkatkan ekonomi khususnya dalam bidang pendidikan dan perdagangan.

"Jaringan Islam perlu ditonjolkan kepada masyarakat dunia bahawa masyarakat Melayu yang berjumlah ratusan juta orang ini adalah bangsa yang mempunyai kekuatan dan pengaruh yang kuat dalam arena antarabangsa," titah baginda.

Baginda bertitah aspek pendidikan merupakan satu kaedah berkesan bagi mencapai matlamat itu kerana pendidikan tidak bergantung kepada prasarana semata-mata tetapi boleh disampaikan secara jarak jauh melalui sistem maya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah, yang juga Pro Canselor UniMAP, serta Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merangkap Presiden DMDI.

Selain para peserta tempatan, SePMA yang dianjurkan bersama kerajaan Perlis dan UniMAP, selama tiga hari yang bermula semalam dihadiri para cendekiawan dari Indonesia, Thailand, China dan Brunei Darussalam. - BERNAMA

Artikel Lain