suria

PM Thai Tawar Bubar Parlimen Akhir Tahun

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam menawarkan jalan penyelesaian untuk menyelesaikan konflik politik negara itu dengan membubarkan Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Kata Abhisit, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan bulan lagi untuk menguruskan perkara-perkara penting mengenai ekonomi negara dan meminda perlembagaan sebelum memikirkan untuk membubarkan Parlimen.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan pemimpin anti kerajaan dari Barisan Bersatu Bagi Demokrasi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD) yang mendesak Parlimen dibubarkan dalam tempoh 15 hari akan datang.

Abhisit menjelaskan, kerajaan perlu mengambil kira beberapa perkara penting sebelum membubarkan Parlimen.

Beliau membuat tawaran itu semasa mengadakan rundingan pusingan kedua dengan pemimpin UDD di Institut Prajahipok di wilayah Nonthaburi, dekat sini.

Abhisit, yang diiringi oleh Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri, Korbsak Saphawasu dan Ahli Parlimen Demokrat Chamni Sakdiset, bertemu dengan pemimpin UDD, Veera Musikapong, Jatuporn Prompan dan Dr Weng Tojirakarn dalam pertemuan dua jam itu yang berakhir pada pukul 8.20 malam semalam.

Rundingan hari ini tidak mencapai sebarang kata putus kerana kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju mengenai tempoh masa untuk pembubaran Parlimen dengan pemimpin UDD mendesak tempoh 15 hari manakala kerajaan menetapkan akhir tahun ini.

"Saya sedia untuk memanggil pilihan raya baru walaupun penggal saya belum berakhir tetapi jika anda masih berpegang dengan tempoh 15 hari...saya fikir kita berpandangan berbeza," kata Abhisit yang tempoh pemerintahannya tamat akhir tahun depan.

"Kami tidak dapat terima jika Parlimen dibubarkan menjelang akhir tahun ini," kata Jatuporn selepas rundingan yang agak panas itu.

"Ini adalah tawaran terbaik yang kerajaan boleh tawarkan dalam situasi semasa dan ia bergantung kepada UDD sama ada mahu menerimanya. Jika mereka terima, kami akan melakukan lebih daripada apa yang mereka tuntut," kata Abhisit kepada pemberita selepas rundingan itu.

Katanya kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan negara itu berada dalam keadaan baik dari segi ekonomi, politik dan sosial sebelum Parlimen dibubarkan.

"Saya harap untuk meneruskan rundingan selepas kembali dari Bahrain," kata Abhisit yang akan berlepas ke Bahrain esok untuk lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Dalam pada itu, Jatuporn berkata, beliau akan berbincang dengan penunjuk perasaan 'Baju Merah' sebelum memutuskan tindakan susulan.

Kumpulan 'Baju Merah' kini mengadakan demonstrasi jalanan yang masuk hari ke-19 hari ini dengan menuntut kerajaan membubarkan Parlimen.

Artikel Lain