suria

Pemilik, Dua Pekerja Stor Ditahan Simpan 3 Kereta Curi

ALOR SETAR: Seorang pemilik stor penyimpanan kereta dan dua pekerja wanita ditahan selepas polis menemui tiga buah kereta curi di premis berkenaan di Jalan Lencongan Barat, dekat sini, hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah berkata, polis menemui sebuah kereta jenis Proton Satria, Honda Civic dan sebuah kereta Proton Saga.

Katanya, kereta Proton Satria itu dilaporkan hilang di Butterworth, Pulau Pinang pada Mac 2000, Honda di Kajang, Selangor pada Julai 1995 dan Proton Saga di Jitra, Kedah pada Februari tahun lepas.

Katanya, pemilik berkenaan berusia 58 tahun serta pekerja wanita berusia 25 dan 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Ketiga-tiga kereta ini akan diserahkan kepada daerah berkenaan untuk siasatan lanjut dan polis juga akan siasat bagaimana kereta itu boleh disimpan di sini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati stor berkenaan mempunyai lesen menyimpan kereta yang ditarik selepas pemilik gagal menjelaskan tunggakan ansuran bank.

Fiesal Libertus berkata, penemuan kereta berkenaan adalah hasil pemeriksaan ke atas beberapa stor penyimpanan kereta yang ditarik selepas kes seorang suri rumah yang 'dikurung' oleh dua lelaki penarik kereta 24 Mac lalu.

Katanya, dalam kejadian itu, Mardiana Mohamad, 31, dari Kangar, Perlis mendakwa dia bersama tiga ahli keluarganya ditahan di sebuah stor di Jalan Lencong Barat selama dua jam ketika keretanya ditarik.

Bagaimanapun, wanita berkenaan dilepaskan setelah pihak bank menghantar salinan pembayaran kepada kerani di stor berkenaan.

Ekoran kejadian itu, 11 suspek ditahan di lokasi berasingan di sini pada Sabtu dan Isnin lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah. - BERNAMA

Artikel Lain