suria

Nik Aziz Bersyukur Rakyat Tidak Timbulkan Masalah Berhubung Isu Istana

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau bersyukur kerana rakyat tidak menimbulkan masalah berhubung isu semasa yang berkaitan dengan Istana Kelantan.

Dalam ucapan taat setia dan tahniah kepada Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra pada istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri di sini hari ini, Nik Abdul Aziz berkata, ini semua berkat rakyat menjunjung undang-undang dan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri dalam menangani isu berkaitan.

Menteri Besar itu juga menyanjung tinggi hubungan baik antara pihak Istana dengan kerajaan negeri. Mengulas mengenai penganugerahan darjah kebesaran negeri ke atas beliau oleh Pemangku Raja Kelantan, Nik Aziz berkata: "Pandangan baik pihak istana kepada saya dan kawan-kawan saya, saya doakan berpanjangan sampai ke akhirat. Tak terfikir pihak istana pandang baik kepada saya begitu sekali," katanya.

Nik Aziz dikurniai Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran datuk.

Tengku Muhammad Faris dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berikutan kegeringan Sultan sejak 10 bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Lain