suria

MEB Disifatkan Struktur Pengukuhan Ekonomi

PETALING JAYA: Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini disifatkan sebagai satu struktur pengukuhan ekonomi dalam berdaya saing dengan dunia luar.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Majid berkata, MEB itu sejajar dengan perubahan landskap ekonomi global yang berbeza berbanding 10 tahun lalu.

"Malaysia tidak boleh lagi menggunakan formula yang sama dan MEB diumumkan pada masa yang tepat sebagai satu cara untuk mencapai keupayaan pendapatan tinggi dalam masa 10 tahun akan datang," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Menurut Salleh, dengan langkah perancangan progresif daripada kerajaan, beliau percaya akan membawa rakyat negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan memberi lebih tumpuan pada industri lain berlandaskan pengetahuan dan dapat memberi nilai tambah yang tinggi kepada negara.

Jelasnya, sektor swasta juga perlu lebih giat menyumbang kepada ekonomi negara kerana akhir-akhir ini dilihat sektor itu dilihat kurang menyumbang kepada peningkatan Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berbanding 10 tahun dulu.

"Banyak syarikat swasta melabur di luar negara ketika ini dan sudah tiba masanya pihak swasta perlu lebih membuat pelaburan dalam negara," katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, MEB akan mengubah ekonomi kepada berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MEB akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global yang menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita masing-masing boleh meningkat kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad, daripada AS$7,000 sekarang ini.

Di bawah MEB itu katanya, kerajaan tidak lagi boleh menerima amalan perbuatan merentir dan patronage, yang telah lama mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurutnya, MEB bakal menjadi inklusif di mana semua rakyat Malaysia menyumbang dan mendapat manfaat dari pertumbuhan ekonomi yang mesti merupakan elemen fundamental sebarang pendekatan ekonomi baru.

Sementara itu Salleh berkata, perkara yang digariskan dalam MEB akan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10 pada Jun depan selain semua pihak perlu memberi sokongan kepada MEB seperti institusi perbankan.

Artikel Lain