suria

MEB Cadang Malaysia Terajui Revolusi Hijau Global

KUALA LUMPUR: Malaysia, sebuah daripada 17 negara di dunia yang kaya dengan sumber biologi, patut memainkan peranan sebagai peneraju dalam teknologi hijau, cadang Laporan Pertama Model Ekonomi Baru (MEB).

Menurut laporan itu, negara yang mempunyai hutan hujan meliputi 60 peratus kawasannya, patut menjadi pemain istimewa strategik dalam industri dan perkhidmatan hijau nilai tinggi dengan memanfaatkan kelebihannya itu.

Laporan itu yang dikeluarkan hari ini oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), menyatakan memanfaatkan sumber asli dan kepelbagaian biologi Malaysia adalah penting untuk memperkukuhkan kelebihan itu.

"Memiliki warisan semulajadi yang begitu bernilai seperti itu bukan sahaja penting untuk Malaysia tetapi juga dunia. Pemuliharaan hutan hujan asli dan terumbu karang memainkan peranan penting dalam strategi mitigasi karbon global," menurutnya.

Menurut laporan itu, sumber asli berkenaan, jika diuruskan dengan betul dan dipulihara, mempunyai kapasiti untuk mengurangkan pengeluaran karbon dunia dan membantu mengurangkan kesan kemusnahan alam sekitar terhadap kelestarian kehidupan.

Ia mengingatkan bahawa jika disalah urus, Malaysia akan berdepan bukan sahaja kemusnahan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan tetapi juga sekatan global yang akan memberikan impak ekonomi terhadap eksport dan pendapatannya di masa depan.

Menegaskan bahawa Malaysia telah membuat komitmen penting di Copenhagen untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang 2020 (berbanding pada 2005), laporan itu menyatakan itu merupakan satu cabaran besar bagi ekonomi itu.

Menurut laporan itu, fokus global terhadap pertimbangan alam sekitar akan menghasilkan perubahan besar dalam permintaan terhadap komoditi dan barangan pembuatan, yang boleh diterima pakai oleh Malaysia dan berada dalam kedudukan baik untuk meramal, melaksana dan meneraju, dan mencadangkan Malaysia mewujudkan kluster penyelidikan dan pembangunan untuk mengeksploitasi keadaan itu.

"Pengkomersilan kepelbagaian biologi asli kita untuk dijadikan produk dan perkhidmatan nilai tinggi akan menjadi cabaran utama negara. Tetapi ia juga merupakan landasan terbaik untuk kerjasama di antara sektor swasta dan awam.

"Manfaat utama darpada strategi hijau, pendapatan tinggi dan inklusif ini ialah generasi di masa depan Malaysia (dan warga dunia) akan secara berterusan dapat menikmati air dan udara bersih dan alam semulajadi yang mereka patut warisi dan bekerja keras untuk memulihara dan melakukan penambahbaikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain