suria

Lima Mangsa Runtuh Di Terengganu Dikenalpasti

KUALA TERENGGANU: Polis telah mengenal pasti indentiti seorang rakyat Bangladesh yang maut dan empat lagi yang cedera dalam kejadian para besi pembinaan bangunan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh petang semalam.

Lelaki yang maut itu ialah Nurul Islam, 37, manakala empat yang cedera ialah ialah Samsul Jamal Malla, 26, Firuz Mansur, 32, Jalino Rahman, 31 dan Mohd Hashitul Islam @ Mansor, 26.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kesemua mangsa yang cedera itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahariah (HSNZ).

"Kami difahamkan mereka ini pekerja yang sah," katanya kepada pemberita selepas malis penyampaian sumbangan kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)/Penilain Menengah Rendah (PMR) Kelab Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.10 petang semalam, para besi yang diduduki beberapa pekerja runtuh bersama konkrit tangki air yang belum keras ketika mereka sedang menyiapkan tangki air di tingkat empat bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika universiti itu.

Nurul Islam mati di tempat kejadian setelah tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah.

Mohd Shukri berkata, polis kini menjalankan siasatan daripada beberapa sudut tertentu, termasuk sama ada kejadian itu disebabkan kecuaian.

"Kami akan menghubungi pihak kontraktor untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Mohd Shukri menyampaikan bantuan kepada 24 orang anak anggota polis Terengganu yang berjaya dalam peperiksaan UPSR/PMR 2009. - BERNAMA

Artikel Lain