suria

Kementerian Penerangan Tidak Guna Khidmat APCO Promosikan 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tidak menggunakan perkhidmatan firma perunding antarabangsa, Apco Worldwide dalam mempromosikan gagasan 1Malaysia.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, firma itu tidak terlibat langsung dengan segala urusan kementerian.

"Setakat mana yang saya tahu, kementerian saya tidak menggunakan perkhidmatan firma tersebut, Apco tidak terlibat dengan urusan kementerian," katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian kepada soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mencelah penggulungan beliau, yang bertanyakan sama ada kementerian mendapatkan khidmat nasihat Apco bagi tujuan mempromosikan 1Malaysia melalui penggunaan media baru.

Salang berkata, kementerian melalui Jabatan Penerangan telah mewujudkan laman sosial Facebook yang kini keahliannya melebihi 6,000 orang serta mewujudkan siaran YouTube untuk memuatnaik audio dan video mengenai dasar gagasan 1Malaysia.

Sementara itu Salang berkata, sehingga 23 Feb lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menerima sebanyak 101 aduan mengenai kandungan laman web dan blog.

"Dari jumlah ini, sebanyak 58 aduan bagi kandungan lucah, 43 aduan bagi kandungan mengancam dan jelek, sementara itu sebanyak 15 kes sedang disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia bagi kes-kes komersial, manakala 63 kes disiasat kerana melanggar pelbagai akta yang lain," katanya.

Mengenai perlawanan bola sepak Piala Dunia, Salang berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan penyiar berlesen bagi 24 perlawanan secara langsung dan 11 perlawanan tertunda termasuk 35 siaran ulangan.

"Siaran bermula dengan perlawanan pembukaan di antara Afrika Selatan dan Mexico pada 11 Jun hingga ke perlawanan akhir pada 11 Julai, RTM juga akan membuat promosi dan menyiarkan laporan harian bagi kesemua perlawanan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain