suria

Hulu Selangor: MIC Serah Nama Calon Pada Najib

KUALA LUMPUR: MIC telah menyerahkan nama calon pilihannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata nama itu diserahkan ketika beliau bertemu Perdana Menteri di Parlimen tengah hari tadi untuk berbincang persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Saya telah bagi tahu siapakah nama calon kepada Perdana Menteri. Beliau terima, beliau akan siasat dan panggil saya sebelum beliau keluar negeri," katanya selepas menutup Bengkel Matematik untuk murid-murid Sekolah Jenis Tamil Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata, calon yang dicadangkan adalah hak presiden setiap parti komponen BN tetapi keputusan muktamad terletak di tangan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

"Kita telah berbincang tentang perkara-perkara berkenaan calon, cara menjalankan jentera pilihan raya serta tindakan-tindakan untuk menyatupadukan jentera Barisan Nasional," katanya.

Samy Vellu juga berkata, Najib telah menyatakan bahawa pilihan raya ini merupakan satu peluang baik untuk BN memenangi semula kerusi tersebut daripada PKR.

Walaupun beliau enggan menyatakan nama yang diserahkan, beliau sebelum ini telah menyatakan bahawa timbalannya Datuk G. Palanivel yang juga bekas anggota Parlimen Hulu Selangor akan dipilih mewakili BN.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lepas.

Allahyarham memenangi kerusi itu setelah mengalahkan Palanivel dengan majoriti 198 undi pada pilihan raya umum 2008. Palanivel merupakan Anggota Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh hari penamaan dan pengundian.

Ditanya sama ada pemimpin MIC lain berminat untuk bertanding, Samy Vellu berkata terdapat seorang yang tidak dinyatakan namanya telah berjumpa beliau dan telah menawarkan diri.

Beliau juga berkata BN akan mengingatkan rakyat bahawa mereka boleh membuat penilaian berdasarkan kepada kelemahan yang berlaku di negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang serta siri pembangunan yang akan mereka menikmati jika BN mengambil balik kerusi kawasan tersebut.

Bekas Menteri Kerja Raya itu berkata beliau telah melawat Hulu Selangor semalam dan mendapat sambutan baik daripada penduduk pelbagai kaum di sana.

"Sambutan pengundi adalah baik tetapi kita kena kerja kuat, jangan ambil mudah. Kita tidak boleh menilai ketika orang senyum terhadap kita bermaksud mereka akan menyokong kita," kata Samy Vellu. - BERNAMA

Artikel Lain