suria

Anwar Gagal Jelaskan Isu APCO: Khairy

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai APCO Worldwide di Dewan Rakyat hari ini tidak menjelaskan kedudukan sebenar isu itu.

Khairy, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata, penjelasan ketua pembangkang itu gagal menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) mengenai dakwaan Anwar kononnya Gagasan 1Malaysia ditiru daripada "One Israel" yang dikaitkan dengan firma komunikasi antarabangsa itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen sejurus selepas Anwar memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat mengenai dakwaannya mengaitkan APCO Worldwide dengan 1Malaysia, yang turut dikaitkan dengan slogan "One Israel" ketika pemerintahan Ehud Barak pada 1999.

Anwar diberi tempoh seminggu oleh Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee untuk menjelaskan isu itu setelah Abdul Rahman mendakwa ketua pembangkang itu cuba mengelirukan Dewan Rakyat dan mahukan beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Khairy turut mempersoalkan penjelasan Anwar mengenai kontrak APCO dengan kerajaan Malaysia yang ditandatangani pada Ogos 2009 sedangkan gagasan 1Malaysia diperkenalkan pada April tahun sama.

"Penjelasan ketua pembangkang hari ini bertujuan mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah dalaman pakatan pembangkang," katanya.

Terdahulu pada Sidang Dewan Rakyat, Anwar menggesa kerajaan membatalkan kontrak APCO dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pelantikan firma komunikasi antarabangsa itu yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.

Anwar (PKR-Permatang Pauh) berkata ini kerana latar belakang APCO dan modus operandi firma antarabangsa itu sebagai perunding komunikasi negara diragui dan didakwa mempunyai akses kepada maklumat strategik negara.

Namun APCO pada 18 Mac lepas menafikan dakwaan tersebut.

Bagi menyokong dakwaannya, Anwar mengemukakan dua perjanjian iaitu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia bagi memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa dan perjanjian antara APCO dan kerajaan Israel ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel, juga bagi tujuan sama.

Bagi perjanjian pertama yang ditandatangani pada 4 Ogos 2009, beliau mempersoalkan kenapa Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi saksi perjanjian yang ditandatangani antara wakil kerajaan dan APCO.

Dalam penjelasannya, Anwar juga menyebut mengenai peranan sebuah firma perunding tempatan, Ethos Consulting, yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan APCO kepada Perdana Menteri.

Beliau turut mendakwa APCO mempunyai kaitan dengan pentadbiran Najib sebelum 1Malaysia diperkenalkan melalui syarikat Mind Team Sdn Bhd dengan pengarah syarikat terbabit adalah ketua pegawai eksekutif APCO di Kuala Lumpur.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usaha merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu dibuat melalui usul untuk dimuatkan sebagai peraturan mesyuarat.

Artikel Lain