suria

Akta Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan Akan Dipinda

KUALA LUMPUR: Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993 akan dipinda bagi memasukkan peruntukan mengenai tindakan bersaling dan peruntukan lain yang relevan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata pindaan itu dibuat bagi menambahbaik dan memperkemas akta berkenaan agar selari dengan kehendak semasa.

"Kerajaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bercadang membentangkan pindaan itu di Dewan Rakyat secepat mungkin," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok)mengenai ketiadaan perintah bersaling pada akta itu sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri.

Jamil Khir berkata kerajaan menyedari ketiadaan perintah itu dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 Akta 505 sebagaimana di negeri-negeri lain.

Menjawab soalan Nasharudin mengenai apakah perintah pemenjaraan yang dikeluarkan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan boleh dilaksanakan, Jamil Khir berkata ia boleh dilaksana berdasarkan bidang kuasa yang diberi Akta Mahkamah Syariah.

Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 Akta 355 memberi peruntukan tentang had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam sebatan, katanya.

Beliau berkata selain itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan juga boleh mengeluarkan perintah pemenjaraan berdasarkan peruntukan kesalahan dalam Akta Kesalahan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1984 dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993. - BERNAMA

Artikel Lain