suria

Umno Bukit Bendera Adakan Mesyuarat Perwakilan Khas

PULAU PINANG: Kesemua 36 anggota jawatankuasa Umno (AJK) bahagian Bukit Bendera akan melepaskan jawatan masing-masing bagi membolehkan satu mesyuarat perwakilan khas bahagian itu diadakan bagi melantik semula Datuk Ahmad Ismail sebagai ketua bahagian itu.

Ketua Bahagian, Abdul Jalil Ariffin berkata surat peletakan jawatan mereka akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri yang dijangka bermesyuarat pada minggu ketiga bulan depan.

"Peletakan jawatan kami akan berkuatkuasa pada tarikh surat itu dihantar pada mesyuarat itu nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata menurut Fasal 15.8 Perlembagaan Umno, jika anggota jawatankuasa Umno bahagian berhenti serentak, Majlis Tertinggi Umno akan mengarahkan mesyuarat perwakilan khas bahagian diadakan untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya.

Beliau berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan Ahmad menerajui semula Umno Bahagian itu dan terus berkhidmat untuk parti.

Sementara itu, Ahmad berkata beliau menghargai sokongan semua AJK bahagian itu yang mahu beliau menerajui semua Umno bahagian Bukit Bendera.

"Saya tidak pernah merasa terasing walaupu digantung daripada parti dan saya berterima kasih kerana anggota Umno di peringkat akar umbi masih menyokong saya," katanya.

Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September 2008 berikutan kritikan orang ramai selepas beliau mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Pada Disember tahun lepas, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad kerana mengeluarkan kenyataan itu. -BERNAMA

Artikel Lain