suria

Tiada Rancangan Tukar Istilah Anak Tak Sah Taraf - Shahrizat

PETALING JAYA: Gelaran anak tak sah taraf akan terus diguna pakai yang merujuk kepada anak yang dilahirkan oleh pasangan belum berkahwin walaupun ia memberikan konotasi negatif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini kerana sebarang perubahan pada istilah berkenaan perlu dibuat dengan berhati-hati memandangkan isu itu amat sensitif.

"Kita kena tangani isu anak luar nikah ini dengan sebaiknya kerana ia sensitif. Di Malaysia, semua agama yang diamalkan di negara ini memang tidak iktiraf anak luar nikah.

"Walaupun macam mana kita prihatin serta membuat kebajikan, saya perlu tegaskan anak-anak mestilah dikandung selepas mendirikan institusi perkahwinan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau melancarkan Karnival Utamakan Keluarga yang bertemakan, 'Sehati, sejiwa untuk keluarga' di kompleks membeli-belah, Tropicana City Mall.

Beliau diminta mengulas laporan eksklusif Mingguan mStar, hari ini tentang penggunaan gelaran anak tak sah taraf atau anak luar nikah atau anak haram yang disifatkan menghina.

Golongan yang dilabelkan dengan istilah itu berasa terhina kerana mereka adalah mangsa keadaan maka tidak sewajarnya gelaran itu diguna pakai ke atas mereka.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, kementerian ingin mendapatkan kerjasama syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), invididu untuk berpernanan di bawah pelaksanaan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak.

Untuk menangani gejala pembuangan bayi, beliau berkata, pihaknya akan mengamalkan empat pendekatan iaitu advokasi, pencegahan, sokongan dan penyelidikan.

"Pertamanya, menerusi advokasi seperti hari ini, Persatuan Kemajuan Wanita Selangor dan 18 agensi NGO lain sehati, sejiwa untuk memberikan penerangan tentang sesuatu isu seperti kesihatan," katanya.

"Keduanya, pencegahan. Kita kena bekerjasama dengan pihak polis, kementerian pendidikan dan lain-lain untuk membawa isu ini ke peringkat lain," katanya.

Shahrizat memberitahu, kurikulum di sekolah perlu dikaji semula bagi menyelitkan pendidikan seks agar remaja sedar risikonya apabila membabitkan diri dalam perhubungan intim.

Beliau berasa terkejut apabila ramai di kalangan remaja tidak tahu akibatnya selepas terjebak dalam hubungan seks terlarang.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, sokongan masyarakat, ahli keluarga serta ibu bapa selain penyelidikan terhadap punca-punca penting dalam menyelesaikan masalah pembuangan bayi.

"Untuk isu pembuangan bayi, jalan penyelesaiannya tidak berhasil kalau kita buat penyelidikan sahaja, dan tidak ada pencegahan, advokasi dan sokongan," jelas beliau.

Sementara itu, beliau meminta Institut Sosial Malaysia supaya mencadangkan model pembangunan sosial dijadikan salah satu elemen dalam pembentukan Model Ekonomi Baru (MEB).

Ini kerana katanya, buat masa ini fokus hanya diberikan dalam bidang ekonomi sekali gus mengabaikan pembangunan bidang sosial.

"Kita tidak memberatkan aspek sosial dan hanya memberikan tumpuan apabila berlaku insiden seperti buang bayi. Ini adalah suatu tragedi sosial. Sepatutnya kita telah memikirkan langkah pencegahan sebelum ia berlaku," katanya.

Artikel Lain