suria

Tiada Hasrat Tarik Balik Penggunaan CCTV Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dalam bilik mahkamah kerana wujudnya sistem itu bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan hakim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Liew Vui Keong berkata CCTV adalah bertujuan untuk mengawal pergerakan orang kena tuduh (OKT)dan bukannya pergerakan hakim.

Liew berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) mengenai Sistem CCTV yang dipasang di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata sistem CCTV itu juga tidak melibatkan pemantauan keselamatan keseluruhan kompleks berkenaan.

"Selain CCTV, di mahkamah turut terdapat sistem transkrip rakaman mahkamah dan kedua-duanya bertujuan melicinkan dan memastikan kes dapat dikendalikan dengan lebih efisien," katanya.

Mengenai kos pemasangan sistem CCTV di kompleks itu Liew berkata ia membabitkan sebanyak RM318,410 dan kontrak kerja itu telah ditawarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Syarikat Kay Corporation Sdn Bhd secara tender terbuka.

Menjawab saoalan tambahan daripada Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai kejayaan sistem CCTV itu, beliau berkata ia jelas dapat dibuktikan dengan tiadanya sebarang aduan diterima mengenai ada OKT yang terlepas semasa kes sedang dibicarakan. - BERNAMA

Artikel Lain