suria

Polis Sahkan Pembebasan 'Setiausaha Sulit' Sultan Kelantan

KOTA BAHARU: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan "setiausaha sulit" kepada Sultan Kelantan telah dibebaskan petang ini dengan jaminan polis setelah ditahan reman selama empat hari.

Polis masih menjalankan siasatan rapi berhubung penahanannya dan akan merujuk kes itu kepada Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya, katanya kepada pemberita di sini.

Khamis lepas, polis menahan lelaki itu yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan di kediamannya, di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini, dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Dia ditahan pada 9 malam dan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penyamaran dan berikutan itu telah ditahan reman.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Musa juga berkata polis telah mula memperketatkan kawalan di beberapa lokasi sempena Majlis Penganugerahan Anugerah Gelaran Kebesaran, darjah-darjah kebesaran, bintang-bintang, pingat-pingat dan surat kepujian oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra di Istana Balai Besar di sini, esok.

"Kita berharap keadaan di sini tenang dan majlis berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.

Mengulas kes 16 warga asing yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Musa berkata polis akan membantu mengesan mereka.

"Kita telah buka kertas siasatan bagi melihat daripada sudut kecuaian siapa dan polis juga akan turut membantu untuk mengesan mereka.

"Selalunya mereka yang berada di depot tahanan sedang dalam proses untuk dihantar pulang ke negara masing-masing dan polis sedang mengumpul maklumat dalam kes ini," katanya.

Dalam kejadian antara pukul 5 hingga 7 pagi itu, kesemua mereka melarikan diri dengan memotong jeriji pintu asrama dan melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan berkenaan.

Mereka terdiri 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berumur 22 hingga 48 tahun. -BERNAMA

Artikel Lain