suria

Peguam Didakwa Pecah Amanah Mengaku Tidak Bersalah

SEREMBAN: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pecah amanah wang sebanyak RM619,875.55.

R. Ledchumiah, 59, di sini diamanahkan menjadi pemegang amanah kepada R. Selvasundari dari Taman Rasah Jaya, Seremban di sini bagi wang berkenaan.

Ledchumiah dari Taman Sri Putih di sini didakwa melakukan kesalahan itu di Firma Tetuan Ramamoorthy Ledchumiah & Co. antara 25 Jun 1998 dan 16 April 1999.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih 20 tahun dan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamri Bakar membenarkan Ledchumiah diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin manakala Ledchumiah diwakili peguam bela P. Sivalingam. -BERNAMA

Artikel Lain