suria

Ng Yen Yen Raih Undian Tertinggi Naib Presiden MCA

KUALA LUMPUR: Calon tunggal wanita untuk jawatan naib presiden MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen berkata kejayaan beliau meraih undi paling banyak untuk jawatan itu menunjukkan perwakilan yang majoritinya lelaki dapat menerima beliau dengan baik.

"Hampir 90 peratus perwakilan adalah lelaki. Mereka terima saya bermakna mereka percaya wanita juga ada kapasiti dan potensi yang sama seperti mereka. Suara wanita perlu didengar," katanya selepas pengumuman keputusan pemilihan MCA di Wisma MCA, di sini semalam.

Ng yang juga Menteri Pelancongan memperoleh 1,528 undi, diikuti Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469), Datuk Chor Chee Heung (1,202) dan Gan Ping Sieu (1,202).

Ditanya tentang matlamatnya selepas ini, Ng berkata beliau akan terus fokus dalam memastikan keutuhan parti terutama dalam aspek perpaduan di antara anggotanya. "Saya juga akan menumpukan kepada program-program yang akan dianjurkan oleh parti dan membantu parti bersiap-sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-12 akan datang," katanya.

Sementara itu Donald berkata beliau gembira dan menghormati keputusan pemilihan parti hari ini dan berharap agar jawatankuasa perwakilan yang baru diberi peluang untuk melaksanakan tugas parti secara demokratik.

Ini katanya, bagi memastikan setiap keputusan yang diambil oleh parti mendapat persetujuan daripada semua ahli, katanya yang merupakan naib presiden sebelum pemilihan parti pada 2008.

Mengenai kemungkinan berlaku lagi kemelut selepas pemilihan hari ini, Lim yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden dari tahun 2005 hingga 2008 berkata: "Dalam dunia ini tiada apa yang pasti. Justeru, saya berharap semua pemimpin yang baru dapat memimpin parti dengan baik."

Chor pula berkata beliau akan membantu presiden baru dan parti untuk mengukuhkan komuniti Cina dan negara sebaik mungkin. "Selesaikan masalah dalaman, ketepikan masalah peribadi dan bergerak secara berpasukan untuk manfaat parti dan masyarakat Cina," kata Chor.

Gan pula berkata beliau akan memberi kerjasama kepada pemimpin terbaru MCA dalam matlamat untuk memantapkan parti itu.

Katanya perjuangan politik berpuak-puak juga harus dibanteras demi perpaduan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie yang mendapat undian ketiga tertinggi bagi jawatan anggota CC MCA pada pemilihan parti hari ini, berkata anggota MCA harus mengetepikan agenda peribadi dan mengutamakan semangat cintakan parti.

"Sekiranya semua pihak mengutamakan semangat cintakan parti maka apa jua usaha yang dijalankan akan tertumpu kepada kepentingan parti," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pemilihan parti MCA di sini.

Heng, yang memperoleh 1,267 undi, juga berharap semua pihak akan menerima dan menghormati segala keputusan yang dibuat hari ini.

"Saya berharap semua pihak akan mengetepikan pendirian sendiri, bekerjasama, bersatu padu demi kepentingan parti," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain