suria

Letupan di Moscow: Wisma Putra Sahkan 3 Pelajar M'sia Selamat

PETALING JAYA: Wisma Putra malam ini mengesahkan tiga pelajar perubatan Malaysia, Elaine Chew, Sim Eih Xing dan Er Chee Kent, terselamat daripada dua kejadian letupan di Moscow awal pagi tadi.

Mereka adalah pelajar tahun akhir Moscow Medical Academy.

Kesemua mereka yang berusia 24 tahun, telah enam tahun berada di Moscow. Sim dan Er adalah pelajar lelaki.

Wisma Putra mengesahkan, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu telah menerima rawatan di hospital dan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Chew dan juga Er, berada bersama ketika letupan pertama berlaku di Stesen Metro Lubyanka pada jam 8 pagi waktu Moscow (12 tengah hari waktu Malaysia).

Sementara Sim pula menjadi mangsa letupan kedua lebih kurang 45 minit kemudian dekat stesen Taman Kultury.

Wakil Kedutaan Malaysia di Moscow dan juga Jabatan Penuntut Malaysia akan melawat ketiga-tiga mereka dalam tempoh terdekat ini. Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Mohamad Khalis Ali Hassan menasihati para pelajar Malaysia supaya mengambil langkah berhati-hati ketika bergerak menggunakan kenderaan awam dan pada masa yang sama meminta ibu bapa supaya tidak terlalu khuatir.

Beliau berkata, buat masa ini, terdapat lebih kurang seribu pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Rusia.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi berkata, beliau telahpun mengarahkan Jabatan Penuntut Malaysia supaya segera melawat pelajar Malaysia yang tercedera itu.

“Malah saya dimaklumkan bahawa semua pelajar tajaan MARA seramai 650 pelajar di Moscow selamat dan tidak terlibat dengan kejadian letupan itu,” ujarnya.

Artikel Lain