suria

Lelaki Tempatan, Dua Wanita Indonesia Ditahan Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang aktif mengedar dadah sejak awal 2004 dan dua wanita warga Indonesia dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki terbabit yang bekerja sebagai kontraktor ditahan di hadapan rumahnya di sebuah apartment di Taman Gembira kira-kira pukul 11.30 malam.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta milik lelaki berusia 46 tahun itu, polis menemui lima paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu anggaran berat 3.5 gram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di kawasan yang sama sebelum menahan dua wanita warga Indonesia yang dipercayai teman wanita dan rakan kepada suspek lelaki itu.

Katanya hasil pemeriksaan dalam rumah membawa kepada penemuan 46 paket syabu anggaran berat 201.5 gram, tujuh paket ketamin seberat 32 gram dan tiga paket mengandungi 296 pil berwarna hijau dipercayai ecstasy.

"Dadah-dadah tersebut disorok dalam bekas penyembur ubat nyamuk. Nilai keseluruhan rampasan dadah mengikut harga pasaran adalah RM71,000 bagi syabu, RM7,000 bagi ketamin dan ecstasy RM4,000.

"Kedua-dua wanita tersebut berusia 27 dan 29 tahun. Polis turut membawa anak milik salah seorang wanita berkenaan yang berusia enam bulan," katanya.

Beliau berkata suspek lelaki yang masih bujang itu mempunyai empat kes jenayah lampau membabitkan dadah dan aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak 2004.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman bermula hari ini sehingga 4 April. -BERNAMA

Artikel Lain