suria

Lelaki Maut Nahas Enam Kenderaan

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas jalan raya membabitkan enam kenderaan di Km38 Jalan Kuantan-Kemaman dekat sini, malam tadi.

Mohd Ariff Rosli, 17, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguatkuasa/Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata kejadian pada pukul 11.30 malam itu berlaku ketika lelaki itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kemaman.

Beliau berkata Mohd Ariff dipercayai mengekori rapat sebuah kereta jenis Toyota Camry sebelum melanggar kenderaan itu menyebabkan dia terjatuh ke atas jalan.

"Dua motosikal rakannya jenis Yamaha dan Honda yang berada di belakang Mohd Ariff turut terjatuh akibat mengelak daripada melanggarnya.

"Sebuah kereta jenis Toyota pula terbabas ke bahu jalan ketika cuba mengelak dari melanggar mereka.

"Sebuah bas ekspres yang datang dari arah belakang juga tidak sempat mengawal kenderaaan dan dipercayai telah melanggar mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mayat Mohd Ariff dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain