suria

Kelantan Perlu RM7 Bilion Dalam RMK-10

PASIR PUTEH: Kelantan memerlukan peruntukan tidak kurang RM7 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan terutama untuk program pembasmian kemiskinan dan penyediaan kemudahan asas di luar bandar sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan lebih RM7 bilion kepada negeri itu.

"Kita berharap di bawah RMK10 kerajaan pusat meluluskan peruntukan lebih besar atau tidak kurang RM7 bilion bagi memesatkan pembangunan di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Pasir Puteh di Kampung Air Tawar, Tok Bali di sini, semalam.

Lebih 1,000 penduduk di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising menyertai program itu.

Pada majlis itu juga seramai 63 orang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), petani, peladang, peniaga kecil dan penduduk miskin menerima bantuan lebih RM1 juta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan persekutuan. -BERNAMA

Artikel Lain