suria

Cadangan Subsidi SMS Bagi Golongan Cacat Pendengaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini disaran memberi subsidi kepada golongan kelainan upaya yang cacat pendengaran untuk menikmati kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Saranan itu disuarakan Datuk Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Bharu) semasa membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen di sini.

"Caj yang dikenakan untuk SMS bukanlah mahal jadi saya rasa pemberian subsidi itu tidak akan membebankan," katanya.

Shahrir berkata apa yang penting adalah kesan daripada kemudahan subsidi berkenaan, sekali gus dapat meringankan beban golongan cacat pendengaran itu memandangkan sistem komunikasi mereka hanyalah dengan menghantar SMS.

Setakat ini terdapat kira-kira 50,000 golongan cacat pendengaran sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan.

Sementara itu, Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) meminta Anggota Parlimen lelaki supaya memandang serius terhadap kes pembuangan bayi dan melihat perkara itu mengikut aspek kemanusiaan.

"Saya menjemput Yang Berhormat yang lelaki untuk menyeru kaum lelaki lain supaya lebih bertanggungjawab. Janganlah lari sehingga ada ibu yang mengambil keputusan membuang bayi," katanya.

Beliau berkata sehingga kini kebanyakan surat khabar dan Puteri Umno dilihat menjalankan pelbagai kempen prihatin untuk menangani kes ini.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 10 tahun bermula tahun 2000, 815 kes buang bayi direkodkan dengan 433 daripadanya meninggal dunia.

Beliau turut memuji kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang disifatnya sebagai terbuka dan bersifat kemanusiaan.

Dalam laporan akhbar itu, Musa meminta orang ramai tidak mengutuk wanita yang mengandung luar nikah hingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk membuang bayi. -BERNAMA

Artikel Lain