suria

Bekas Penuntut Bakar Rumah Dibicara Pada Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 12 dan 13 Oktober ini untuk perbicaraan kes seorang bekas penuntut kolej swasta yang didakwa menyebabkan kecederaan parah dan membakar rumah rakan wanitanya, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan tarikh itu selepas dipersetujui oleh peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili Muhammad Faiz Ghazali, 22, dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asmah Ahmad.

Pada 30 April tahun lalu, Muhammad Faiz ketika dihadapkan ke mahkamah mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan tukul besi kepada Suhaiza Abas, 22, di Blok E-T02-U03, Putra Damai, Presint 11, Putrajaya pada 3.40 petang 14 Jun 2007.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Faiz didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat untuk membakar rumah dan membinasakan mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, dan bagi pertuduhan akhir, Muhammad Faiz didakwa dengan niat cuba membunuh Suhaiza dengan memukul dan membakar biliknya.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mengekalkan tiada sebarang jaminan diberikan kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat dan serius. -BERNAMA

Artikel Lain