suria

Tiada Cadangan Hentikan Khidmat Pilatus - Abdul Latiff

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan pesawat Pilatus milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana ia merupakan pesawat terbaik untuk latihan penerbangan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

"Setakat ini, Pilatus adalah pesawat terbaik. Ia bukan sahaja digunakan oleh TUDM sendiri tetapi khidmat pesawat itu turut digunakan oleh akademi penerbangan lain di negara ini," katanya ketika mengulas mengenai nahas yang menimpa pesawat Pilatus itu.

Pilatus PC-7 keluaran syarikat Pilatus Aircraft dari Switzerland merupakan pesawat latihan dua tempat duduk. Ia mampu melaksanakan kesemua fungsi-fungsi latihan asas termasuk aerobatik, peralatan, taktikal dan penerbangan waktu malam.

Khamis lepas, pesawat Pilatus PC-7 milik TUDM terhempas ketika di hutan Sintok, Kedah, ketika menjalani latihan hingga mengorbankan juruterbangnya Mejar Muhammad Zulrihan Jusof, 39.

Bercakap kepada pemberita selepas melepaskan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2 Siri 7/2010 di perkarangan Stadium Bukit Jalil di sini, hari ini, Abdul Latiff berkata siasatan berhubung nahas itu masih dalam siasatan.

"Kita akan umumkan punca kejadian apabila laporannya telah diketahui kelak," katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata seramai 42,000 peserta dipilih bagi kumpulan kedua PLKN untuk Siri 7/2010 bagi menjalani latihan selama tiga bulan.

Pergerakan kumpulan itu dilaksanakan selama tiga hari bermula semalam melibatkan 57 buah bas bagi pergerakan ke kem-kem latihan di seluruh negara, 49 penerbangan bagi pergerakan pelatih dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dan 13 feri bagi pelatih ke jeti Kuala Baram, jeti Kuah, jeti Kuala Perlis, jeti Sibu dan terminal feri Menumbuk. - BERNAMA

Artikel Lain