suria

'Serbuk' Di Kondo Benjy Bukan Kokain - Polis

KUALA LUMPUR: 'Serbuk putih' seberat 800 gram (gm) yang ditemui di kondominium milik pelakon, Khaeryl Benjamin Ibrahim di Kepong disahkan bukan kokain, kata polis.

"Serbuk seberat 800gm yang dirampas bukan dadah jenis kokain dan kami telah meminta Jabatan Kimia melakukan ujian sekali lagi," kata Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang.

Menurut beliau, pihaknya perlu memastikan bahawa bahan berupa serbuk tersebut yang diperoleh daripada pelakon dikenali sebagai Benjy pada 11 Mac lalu bukan merupakan kategori dadah berbahaya.

Tambahnya, pihak polis masih melakukan siasatan sama ada Benjy, 32, terbabit dengan sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah.

Pada 11 Mac lepas, sepasukan polis Jabatan Penyiasatan Narkotik menyerbu satu lagi kondominium dipercayai milik Benjy di Segambut di mana 0.24 gm methamphetamine ditemui.

Dadah tersebut disembunyikan dalam sebuah bilik bersama-sama alat kelengkapan yang digunakan untuk memproses, menghasilkan dan membungkus dadah.

Seorang wanita berusia 23 tahun dipercayai bersubahat dengan pelakon itu turut ditahan. Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah.

Khamis lalu, Benjy mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki 0.24 gm methamphetamine mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia kemudiannya ditahan semula selepas ibunya, dramatis veteran Azean Irdawati membayar ikat jamin sebanyak RM2,000.

Benjy ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan Khas) yang membenarkan tahanan selama 60 hari untuk siasatan lanjut.

Benjy kini ditempatkan di balai polis Bukit Jalil sementara menunggu tarikh perbicaraan kes pada 8 April ini.

Artikel Lain