suria

Polis Cari Pelakon Hilangkan Diri Selepas Pukul Isteri

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjejaki seorang pelakon filem dan drama popular sekitar awal 90-an berhubung kes memukul isterinya hingga mengakibatkan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan dan muka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata kejadian itu berlaku di rumah artis berusia 41 tahun itu di Kampung Cheras Baru, Ampang di sini, Rabu lepas kira-kira pukul 7 pagi.

"Insiden itu berlaku kerana ada perselisihan faham dan isteri pelakon itu juga mendakwa bahawa beliau sering dipukul suaminya. Isteri pelakon itu juga mengesyaki suaminya turut terlibat dalam penagihan dadah dan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Koperal Khalid Che Ros di rumah anggota polis itu di perumahan polis Taman Keramat Permai di sini.

Abdul Jalil berkata tidak tahan dengan perbuatan suaminya, isteri pelakon itu yang berusia 28 tahun kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah.

Beliau berkata sejak kejadian itu juga pelakon itu telah menghilangkan diri dan pihak polis sedang mengesannya untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Antara filem terbitan tahun 90-an yang pernah dilakonkan oleh pelakon tersebut termasuk Harry Boy, Azizah - The Legend dan Riang Tirana. -BERNAMA

Artikel Lain