suria

Peringkat Pertama Kajian Penstrukturan Semula Kadar Tol Selesai

BUTTERWORTH: Peringkat pertama kajian penstrukturan semula kadar tol lebuh raya telah selesai dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kini dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan serta syarikat konsesi lebuh raya berhubung perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kerajaan sedang mencari kaedah terbaik bagi memastikan penstrukturan semula kadar tol itu tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Objektif kerajaan adalah untuk mengurangkan subsidi kerana ketika ini subsidi telah menjadi jumlah yang besar dan pada masa yang sama kita mahu memastikan ia tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata pelbagai aspek perlu diteliti sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu kerana ia melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pengguna dan syarikat konsesi.

"Syarikat konsesi ini pula terdiri daripada beberapa kategori sama ada (beroperasi) di kawasan bandar dan luar bandar, ada yang berjaya buat keuntungan dan ada yang tidak.

"Pada masa yang sama, pandangan rakyat juga perlu diambil kira, sebab itu kerajaan perlu membuat tindakan yang betul sebelum membuat sebarang keputusan dan ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Pada April tahun lepas, kerajaan mengarahkan EPU supaya mencari satu penyelesaian komprehensif untuk menangani isu kenaikan tol yang perlu dilakukan setiap tiga tahun.

Kajian itu merangkumi semua aspek berkaitan tol termasuk segala perjanjian terlibat dan kesan terhadap ekonomi ketika merangka cadangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain