suria

Orang Melayu Berhak Sokong NGO Perjuang Hak Mereka - Rais

TANJUNG MALIM: Orang Melayu berhak menyokong mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang dirasakan memperjuangkan hak mereka selagi ia tidak dipolitikkan dan mencetuskan kontroversi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata begitu juga masyarakat Cina, India dan lain-lain yang turut berhak memilih dan menyokong NGO yang sesuai dengan perjuangan dan kegiatan mereka.

Katanya apa yang penting ialah NGO dalam memperjuangkan hak masing-masing sewajarnya tidak mencampurkan nilai tradisi dan budaya politik secara formal.

"Perjuangan itu sewajarnya tidak dipolitikkan dan melibatkan soal kontroversi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mengenang Tokoh Negarawan Tun Abdul Razak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendapat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan tidak ditubuhkan untuk bermusuh dengan mana-mana pihak adalah sesuai dengan perjuangan Umno.

Mengenai program Mengenang Tokoh Negarawan Tun Abdul Razak Hussein anjuran Arkib Negara dengan kerjasama UPSI hari ini, Rais berkata Perdana Menteri Kedua itu telah berjaya mengubah landskap negara dengan memperkenalkan pelbagai dasar termasuk pewujudan Felda dan Penyata Razak 1956.

"Kita perlu mengenengahkan kepentingan memperingati pejuang dan tokoh lampau tanpa mengira kaum dengan melibatkan masyarakat...usaha itu akan memberi generasi muda untuk menghayati sejarah," katanya.

Program hari ini memberi peluang kepada seluruh rakyat mengenali dengan lebih dekat tokoh berkenaan yang juga merupakan Bapa Pembangunan Negara, katanya.

Program Mengenang Tokoh Negarawan bertujuan mengenang dan menghayati kembali jasa dan sumbangan tokoh pemimpin terdahulu yang telah menerajui pentadbiran negara. - BERNAMA

Artikel Lain