KUALA LUMPUR: Walaupun sibuk dengan pemilihan parti hari ini, MCA tetap memberi tumpuan untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.Bekas Naib Presiden dan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA sedang membuat persiapan rapi dan memainkan peranan penting dalam menghadapi pilihan raya tersebut. "Pilihan raya ini penting bagi kita. Di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semangat 1Malaysia akan kita tonjolkan sepenuhnya di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini, hari ini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persediaan MCA menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad tiga hari lepas akibat barah otak.Liow berkata memandangkan terdapat hampir 25 peratus pengundi kaum Cina di kawasan tersebut, MCA akan terus berusaha gigih untuk meraih undi mereka dan juga penduduk tempatan lain."Pemilihan parti hari ini diharap dapat selesaikan masalah MCA untuk kita hadapi cabaran masa depan termasuk pilihan raya kecil yang akan datang," katanya. - BERNAMA