Liow Janji Bekerjasama Dengan Dr Chua - Semasa | mStar

Liow Janji Bekerjasama Dengan Dr Chua

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA yang baru Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini berjanji akan memainkan peranannya sebaik mungkin dan bekerjasama dengan Presiden baru parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi mengukuhkan parti itu.

Liow berkata sekalipun sebelum ini beliau dilihat sering berselisih pendapat dengan Dr Chua, namun keadaan itu tidak akan menjejaskan komitmennya untuk menyatukan semula MCA.

"Ini keputusan pemilihan, saya hormati dan akan bekerjasama pastikan parti kita mantap, kukuh dan bersatu padu," kata Liow ketika ditemui pemberita selepas keputusan pemilihan MCA diumumkan di sini.

Liow yang juga Menteri Kesihatan menewaskan Datuk Seri Kong Cho Ha dengan majoriti 65 undi.

Keputusan pemilihan parti itu juga menyaksikan Dr Chua menewaskan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas Presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Liow juga yakin keputusan hari ini akan menstabilkan parti itu.

"Kita tidak ada masa untuk bertelingkah, kita (yang ada) sekarang yang penting.

"Oleh itu saya sebagai pemain berpasukan pada pemilihan kali ini, berharap jawatankuasa kita dapat cepat bersatu padu dan kita bergerak untuk bantu parti," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan Ka Ting, beliau yang dilihat pemerhati politik sebagai 'orang' bekas presiden MCA itu mengakui kecewa namun akur dengan kehendak perwakilan.

"Memang kita kecewa Ka Ting kalah kali ini, tapi kita ucapkan tahniah kepada Chua Soi Lek, kita hormati keputusan ini," katanya.

Sementara itu Kong yang tewas tipis kepada Liow berkata keputusan pemilihan hari ini tidak mematahkan semangatnya untuk berkhidmat kepada parti dalam kapasitinya sebagai Pengerusi MCA Perak.

Ditanya kemungkinan kekalahannya itu akan menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kong berkata: "Saya menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memutuskannya." -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain