suria

Dera dan Buang Bayi: Puteri Umno Saran Semua IPD Tubuh Pasukan Khas

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno hari ini menyarankan agar pasukan khas bagi menyiasat kes buang bayi dan penderaan kanak-kanak ditubuhkan di semua ibu pejabat polis daerah (IPD).

Ketua sayap Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata dengan cara itu siasatan terhadap kes seumpama dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan.

"Penubuhan pasukan seumpama itu juga akan dapat memastikan tugas hakiki lain-lain anggota dan pegawai tidak terjejas kerana tumpuan siasatan kes dera dan buang bayi diambil alih oleh pasukan khas yang dicadangkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya pasukan itu juga harus disertai anggota dan pegawai penyiasat yang mempunyai pengetahuan serta latar belakang jenayah kanak-kanak.

Beliau mengulas langkah IPD Petaling Jaya menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes pembuangan bayi di Kampung Melayu, Subang baru-baru ini.

Rosnah berkata pergerakan itu juga menyokong kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agar masyarakat tidak memandang hina wanita hamil anak luar nikah, sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah untuk menyedarkan mereka tentang kesilapan yang dilakukan.

"Hakikatnya, masyarakat memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan remaja tidak terjerumus ke kancah maksiat dan seterusnya melakukan jenayah buang bayi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain