suria

Anak Pegawai Polis Maut Ditikam

KUALA LUMPUR: Anak pegawai polis maut akibat ditikam di dada dan perut di hadapan sebuah restoran di Jalan Pudu di sini awal hari ini.

K. Daniel Danish, 25, yang cedera parah akibat kejadian itu mati sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, Daniel yang baru keluar dari restoran terbabit selepas menjamu selera dihampiri seorang lelaki bermotosikal, sebelum dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam.

Kakak sulung Daniel, Alison, 28, berkata adik lelakinya yang bekerja tinggal bersama ibu bapa mereka di Kuantan itu sering ke Kuala Lumpur bila ada kelapangan pada hujung minggu untuk berjumpa rakan-rakannya dan ketika di ibu negara dia menginap di hotel.

"Daniel budak yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga," katanya ketika ditemui Bernama di bilik mayat HKL di sini.

Bapa mangsa bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Alison juga menolak kemungkinan adik lelakinya disamun kerana barangan berharga milik Daniel tidak hilang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

"Mangsa dipercayi ditikam menggunakan senjata tajam dan kami sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain