suria

Anak Pegawai Polis Dibunuh; Bapa Kata Dia Tiada Musuh

KUANTAN: Cif Inspektor Kutty Krishnan berkata, dia tidak tahu motif anak lelakinya dibunuh di hadapan sebuah restoran di Pudu, Kuala Lumpur awal pagi semalam kerana setahunya, dia tiada musuh.

"Kalau nak dikatakan pembunuhan itu berunsur dendam,saya tiada musuhm," kata bapa kepada K. Daniel Danish yang mati ditikam di dada.

Kutty berkata Daniel, 25, bekerja sebagai juruteknik di BASF Petronas, Gebeng dekat sini dan sering ke Kuala Lumpur setiap bulan untuk bertemu rakan-rakannya di sana.

"Saya sendiri tak tahu punca kejadian. Daniel seorang yang pendiam, saya tidak rasa dia ada musuh," kata Kutty, 53, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

"Kira-kira jam 3 pagi tadi saya mendapat panggilan daripada kakaknya yang tinggal di Kuala Lumpur memaklumkan Daniel ditikam hingga mati," kata Kutty ketika ditemui di rumahnya di Bukit Sekilau di sini.

Menurut Kutty lagi, Daniel rapat dengan ibu dan kakaknya, malah ibunya juga menghantar Daniel ke terminal bas untuk ke Kuala Lumpur, dua hari lepas.

Kutty berkata, anak lelaki tunggalnya itu sepatutnya pulang ke Kuantan hari ini.

Daniel maut akibat ditikam di dada dan perut di hadapan sebuah restoran di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada kira-kira 3 pagi.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi kemudiannya disahkan meninggal dunia. Kejadian berlaku selepas Daniel makan di restoran itu.

Ketika keluar dari restoran, ia dihampiri seorang lelaki bermotosikal, sebelum dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam.

Artikel Lain