Ahli Perniagaan Mati Ditetak Di Perut - Semasa | mStar

Ahli Perniagaan Mati Ditetak Di Perut

PORT DICKSON: Seorang ahli perniagaan ditemui mati manakala seorang wanita cedera parah akibat ditetak dalam sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang yang terletak di tepi pantai di sini, semalam.

Mayat Ramli Osman, 40, dari Selangor ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan di bahagian perut, manakala wanita itu ditetak di paha dan dan tangan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata polis percaya kedua-dua mereka diserang oleh lebih dari seorang lelaki pada pukul 4.30 pagi menggunakan senjata tajam dipercayai parang.

"Apa yang kami dapat lihat adalah satu pembunuhan kejam. Terdapat beberapa tetakan kuat menggunakan senjata tajam seperti parang di bahagian perut mangsa.

"Berdasarkan pasang surut air, polis juga tidak menolak kemungkinan pembunuh memasuki bilik hotel melalui jalan laut kerana tidak ada sebarang kesan pecah masuk melalui pintu utama bilik," katanya.

Beliau berkata wanita berusia 26 tahun itu kini berada dalam keadaan trauma dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Osman berkata siasatan awal polis mendapati kejadian itu bukan bermotifkan rompakan kerana barangan berharga milik mangsa tidak hilang.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain