suria

Tee Keat Dakwa Terdapat Komplot Mahu Jatuhkannya

PULAU PINANG: Datuk Seri Ong Tee Keat mendakwa terdapat komplot dari dalam parti yang mahu menjatuhkannya dari jawatan presiden sejak mula menyandangnya tahun lalu.

"Memadailah kalau saya kata apa yang berlaku sebelum dan selepas EGM (mesyuarat agung luar biasa) parti pada 10 Okt tahun lalu, tidak lain daripada satu komplot yang begitu dirancang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan para perwakilan dari negeri ini semalam.

Beliau juga berkata beliau dapat menyesuaikan diri untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk anggota jawatankuasa pusat (CC) dari kalangan penyokong bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting, yang kali ini akan bertanding semula jawatan presiden.

"Bila saya kata saya tidak kisah bekerjasama dengan puak mana sekalipun, saya kotakan janji saya, tetapi tidak disangka apabila tercetus sesuatu isu, saya ditikam dari belakang," kata beliau.

Tee Keat berkata beliau turut dipersalahkan apabila tindakan disiplin dikenakan terhadap timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek satu ketika dahulu, di mana sebenarnya tindakan tersebut berupa keputusan bersama yang diambil Majlis Presiden dan CC.

Beliau berkata semasa menjadi presiden parti, beliau sentiasa mengambil kira tentang perpaduan parti di mana penyokongnya tidak dibenar merebut jawatan naib presiden dan CC.

Tee Keat turut kesal dengan dakwaan bahawa politik wang turut berlaku menjelang pemilihan parti Ahad ini.

"Amalan ini akan membinasakan parti sebab inilah satu-satunya yang saya kira bukan sahaja jijik tetapi juga dikeji oleh rakyat dan kiranya calon-calon mempunyai sumber dana politik yang lumayan sehingga mahu taburkan duit, saya nasihatkan supaya wang ringgit itu lebih baik ditaburkan untuk kerja kebajikan seperti pembinaan sekolah ataupun rumah-rumah ibadat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain