suria

Siasatan Pesawat Pilatus Terhempas Sama Ada Kerosakan Teknikal Atau Kecuaian

MELAKA: Siasatan akan menjurus sama ada berlaku kerosakan teknikal atau kecuaian berhubung sebuah pesawat Pilatus PC-7 MK 11 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di kawasan hutan simpan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, kelmarin.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata "biar lembaga siasatan yang ditubuhkan menyiasat sama ada (nahas itu) ada kaitan sama ada kegagalan enjin (pesawat) atau kesilapan kecuaian."

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sebuah mesin dialisis dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 30 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, di sini semalam, katanya pesawat Pilatus MK11 dari Switzerland itu adalah pesawat baru yang digunakan TUDM sejak dua tahun lepas.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mej Jen Datuk Zulkiflee Mazlan dan Panglima Markas 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi semalam, pesawat dipandu Mejar Muhammad Zulrihan Jusof, 39, terjunam ketika membuat persembahan pada perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 UUM.

Ditanya sama ada mangsa telah mendapat kebenaran untuk melakukan gerakan yang dirancang ketika melakukan persembahan itu, beliau berkata: "saya belum mendapat laporan penuh berhubung insiden itu".

Youtube mempamerkan aksi juruterbang itu melakukan beberapa gerakan sebelum pesawat tersebut terhempas.

Pesawat yang mempunyai dua tempat duduk, digunakan untuk latihan bagi juruterbang TUDM, boleh melakukan pelbagai gerakan yang dirancang dan ia banyak digunakan oleh sekolah latihan penerbangan, kata Dr Latiff.

Katanya pada masa kini terdapat 18 buah pesawat MK 11 yang digunakan untuk latihan oleh TUDM termasuk yang terhempas semalam.

"TUDM mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik bagi pesawat miliknya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian sentiasa menghargai pengorbanan dan jasa pesara ATM dengan memberi rawatan percuma kepada bekas tentera yang memerlukan rawatan mesin dialisis.

Beliau berkata jumlah kos untuk rawatan dialisis mencecah RM20 juta kepada lebih 3,000 pesara ATM yang memerlukan rawatan itu di seluruh negara.

"Jumlah ini semakin meningkat setiap tahun kerana ramai pesara tentera yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain