suria

Rosmah: Pelaburan Ke Atas Wanita Adalah Pelaburan Bijak

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata pelaburan ke atas wanita adalah pelaburan yang bijak yang dapat memberi pulangan jangka panjang dan berterusan bagi kemakmuran negara.

Katanya pelaburan yang dimaksudkan bukan sahaja dalam bentuk bahan mentah, material dan kewangan semata-mata tetapi meliputi keperluan utama yang dapat melonjakkan sumbangan wanita 1Malaysia terhadap pembangunan negara.

"Ia seperti menambah baik kemudahan kesihatan dan kebajikan, meningkatkan peluang dan penyertaan pendidikan serta menggalakkan penglibatan wanita dalam aktiviti ekonomi, pengurusan dan pentadbiran negara.

"Saya yakin dan berharap wanita 1Malaysia akan terus menjadi elemen utama sebagai penjana ekonomi dan teras terpenting negara," katanya dalam ucaptama di Seminar Wanita 1Malaysia 2010 bertema "Memperkasakan Wanita Melalui 1Malaysia" di sini hari ini.

Selaku penaung seminar itu, Rosmah berkata peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosio-budaya di kalangan masyarakat membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada negara.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil pula berkata konvensyen itu bukan semata-mata membahaskan Gagasan 1Malaysia tetapi juga usaha mengoptimumkan potensi wanita dengan resolusi pada konvensyen itu akan dibawa ke Kabinet.

Beliau berkata antara kriteria utama adalah membentuk perubahan minda dengan wanita mesti mencari kecemerlangan dan memupuk nilai-nilai terpuji yang positif.

"Wanita kena jadi "stakeholder"... menjadi pencetus kepada perubahan," katanya.

Wanita sebagai seorang ibu juga perlu memupuk nilai positif di kalangan anak-anak mereka seperti menerapkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan menjayakan gagasan 1Malaysia, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain