suria

BN Yakin Rampas Hulu Selangor

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan perubahan senario sokongan rakyat yang dilihat sudah kembali menyokong parti itu.

"BN memang ada peluang untuk menang pada kali ini.

"Kita percaya senarionya sudah berubah, tak seperti pada tahun 2008," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini malam ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras kelmarin.

Adik Allahyarham, Md. Hambali mengesahkan Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.27 malam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd. Zin dan empat orang anak.

Bagaimanapun Najib yang juga pengerusi BN menegaskan jentera parti perlu bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan jika mahu merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan.

"Kita mesti memberi tumpuan dan menunjukkan kesungguhan untuk bekerja keras bagi mencapai kejayaan," katanya.

Berhubung hasrat MIC untuk meletakkan calon mereka bertanding di kerusi berkenaan, Najib berkata perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Tentang itu (hasrat MIC) saya akan bincang dengan presiden MIC dahulu," katanya.

Ditanya kemungkinan Umno juga berminat untuk menurunkan calonnya kerana wujudnya permintaan diperingkat akar umbi agar BN meletakkan calon Melayu, Najib berkata: "Sabarlah dulu... bersabarlah, kita kena bincang dulu."

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Zainal Abidin menewaskan calon BN, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham yang menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.

Jentera pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diketuai oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar bertindak sebagai pengarah pilihan raya dengan dibantu oleh Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Idris Bakar.

Pada pilihan raya umum 2008, BN telah memenangi kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor iaitu Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno).

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; China (26.7 peratus), India (19 peratus) selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Jumaat depan bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Artikel Lain