suria

MIC Akan Calonkan Palanivel Sebagai Calon Hulu Selangor

KUALA LUMPUR: MIC akan mencalonkan Timbalan Presidennya, Datuk G. Palanivel sebagai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung tidak lama lagi, kata Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Palanivel yang juga bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat merupakan bekas ahli Parlimen Hulu Selangor daripada tahun 1990 sehinggalah beliau tewas pada pilihan raya ke-12, 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, samy Vellu berkata parti itu akan hanya akan mencadangkan nama tersebut dan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN untuk membuat keputusan.

"Datuk Palanivel mempunyai peluang baik untuk menang kerana beliau telah berkhidmat dengan baik di situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Palanivel, yang juga Timbalan Presiden MIC, kalah kepada Zainal Abidin dalam pilihan raya lepas dengan hanya 198 undi setelah menjadi wakil rakyat di situ sejak 1990.

Samy Vellu berkata walaupun kalah, Palanivel masih membantu menyelesaikan masalah masyarakat pelbagai kaum di Hulu Selangor, yang merupakan antara beberapa kubu kuat BN yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

"Matlmat kita sekarang ialah untuk menang, dan jika boleh, menang dengan selesa," katanya.

Samy Vellu dan Palanivel mengucapkan takziah kepada keluarga Zainal Abidin, 71, yang meninggal dunia akibat barah.

Hulu Selangor mempunyai 63,000 pengundi, 51 peratus daripadanya Melayu, 26 peratus Cina dan 19 peratus kaum India selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor dalam kawasan Parlimen itu terdiri Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu, kesemuanya dimenangi oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain