suria

Majikan Perlu Tawar Gaji Menarik Kepada Rakyat Malaysia

CYBERJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu para majikan mempertimbangkan untuk menawarkan gaji yang menarik dan berpatutan kepada pekerja rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Perdana Menteri berkata langkah itu berikutan terdapat aduan yang diterima bahawa tahap gaji yang ditawarkan kepada pekerja tempatan tidak begitu menarik.

"Jika boleh dipertimbangkan, harap tangga gaji terutama sekali tangga gaji permulaan (menarik) dan memberi insentif serta tangga gaji yang sesuai untuk rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Jika beri gaji rendah, akhirnya tidak ada tawaran dan (ini) akan mendesak kerajaan meluluskan pekerja asing," katanya ketika sidang video dengan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, yang berada di Pusat JobsMalaysia Danga Bay Johor Baharu.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan secara serentak 11 JMC di seluruh negara di JobsMalaysia Cyberjaya di sini, semalam. Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

JMC yang merupakan cetusan idea Najib, bertujuan membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Perdana Menteri berkata jika langkah itu tidak dilakukan, tangga gaji akan sentiasa berada di tahap yang rendah dan justeru itu, para majikan perlu berlaku adil kepada pekerja rakyat tempatan.

Beliau berkata penubuhan Pusat JobsMalaysia sebagai tanda keprihatinan kerajaan untuk terus memperjuangkan untung nasib mereka yang tidak mendapat pekerjaan.

"Langkah ini juga sekaligus akan dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam negara," katanya.

Najib juga berharap agar mereka yang bekerja di kawasan Iskandar Malaysia di Johor Baharu, yang bakal berkembang dengan amat pesat, adalah sebahagian besarnya merupakan rakyat Malaysia.

"Saya harap ia (Iskandar Malaysia) menjadi satu tempat contoh yang terbaik bukan sahaja daripada segi tempat menarik para pelabur tetapi juga daripada segi kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata pada hari ini sahaja, seramai 35 majikan menawarkan 700 pekerjaan di peringkat lulusan universiti dan lebih 1,000 pekerjaan bagi lepasan sekolah di Pusat JobsMalaysia Danga Bay Johor Bahru.

Katanya sejak portal JobsMalaysia diwujudkan pada tahun lepas, seramai 2,800 orang telah mendaftarkan diri mereka di JobsMalaysia Johor Bahru.

"Kita akan beri peluang lebih dekat lagi dari segi sentuhan peribadi untuk membawa bersama semua lapisan rakyat yang mencari pekerjaan dan dipadankan dengan pencari pekerja iaitu majikan.

"Memang satu pendekatan yang berkesan kerana dapat menggabungkan portal JobsMalaysia dengan JMC seperti yang telah dilancarkan hari ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain