suria

Mahkamah Tolak Rayuan Bekas Pengarah Sumber Manusia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan bekas Pengarah Sumber Manusia Hotel Crown Princess dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dua tahun terhadapnya atas kesalahan menipu enam pelajar Indonesia pada 2003.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah berkata hukuman dua tahun penjara terhadap Teo Beng Lan, 58, bagi kesemua pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen tidak terlampau berat berbanding kesalahan yang dilakukannya.

Azman berkata Teo telah menjejaskan imej negara sedangkan kerajaan berusaha menggalakkan pelajar luar datang ke negara ini untuk belajar terutama dalam bidang perhotelan.

Pada 6 Mac tahun lepas, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap Teo selepas didapati bersalah terhadap 22 tuduhan menipu enam pelajar Indonesia membabitkan wang bernilai RM2,200.

Dia didakwa menipu pelajar terbabit untuk mempercayai bahawa dia diberi kuasa untuk mengutip levi imigresen yang kemudiannya mendorong pelajar-pelajar itu menyerahkan wang sebanyak RM100 kepada seorang yang bernama Indera Devi a/p Hondut, yang mana pelajar itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan Teo.

Teo melakukan kesalahan itu di dua tempat iaitu Crown Princess Hotel, Jalan Tun Razak, di sini, pada November dan Disember 2003 dan juga di banglo bernombor 85, Jalan Walter Grenier, Jalan Bukit Bintang, di sini pada Januari dan Februari 2004.

Daripada kesemua 22 pertuduhan itu, Azman melepaskan dan membebaskan Teo atas empat pertuduhan setelah mendapati tiada pemotongan pada bulan November 2003 kerana pelajar memulakan latihan agak lewat dan hanya mendapat elaun RM100 sahaja.

Dalam penghakimannya Azman berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Teo kecuali untuk potongan bulan November 2003, melampaui keraguan munasabah.

"Tertuduh memperdayakan Pengetua di SMK (Sekolah Menengah Kejuruan) Negeri 57 Jakarta, Indonesia dengan memberitahu terdapat pemotongan elaun ke atas pelatih tanpa dimaklum sejelasnya tentang tujuan apa. Mangsa pula diberitahu pemotongan untuk tujuan bayaran levi Imigresen dan selepas disoal, bahawa ia telah dibayar oleh pihak hotel, tertuduh memberitahu untuk tujuan derma kepada sekolah mereka di Jakarta.

"Tetapi apabila ditanya pihak sekolah mereka menyatakan tidak menerimanya lalu dikatakan untuk levi. Tertuduh juga ada memberi amaran supaya tidak memberitahu orang lain," katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala peguam Alan Tan mewakili Teo. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain