suria

Lebih Banyak Projek Usahawan Melayu Dalam RMK-10 - Shafie

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan memastikan usahawan dan peniaga Melayu mendapat projek sewajarnya dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kementerian sedang menyusun satu kerangka pengagihan secara baik supaya semua peringkat usahawan dapat menikmati projek yang dirancang.

"Mereka akan terlebih dahulu dipastikan berkeupayaan melaksanakan projek yang dianugerahkan dan untuk itu kementerian melalui agensi-agensinya akan melatih untuk memantapkan nilai-nilai pengurusan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia negeri Kedah di sini malam tadi.

Shafie berkata usahawan yang telah mantap daripada segi latihan, pengalaman dan pengetahuan berpeluang mendapat manfaat daripada projek RMK-10 nanti manakala usahawan baru perlu dibimbing.

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata walaupun ada kelemahan tersendiri, usahawan Melayu telah membuktikan mereka juga mampu bersaing dengan bukan Melayu jika mendapat peluang.

Shafie berkata Model Ekonomi Baru yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak 30 Mac ini dijangka mengambil kira cabaran yang perlu diharungi oleh usahawan Melayu pada abad ke-21. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain