suria

Kes PKFZ Disebut Semula 3 Mei

KLANG: Kes bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka O.C.Phang yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 3 Mei ini.

Hakim Asmadi Hussain menetapkan tarikh itu selepas peguam bela Phang, Francis Ng Aik Guan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk mengkaji beberapa dokumen yang baru diterima daripada pihak pendakwaan petang ini selain menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan yang sama untuk pemulangan pasport kepada Phang yang perlu menghadiri mesyuarat dan satu majlis perkahwinan di Amerika Syarikat serta memerintahkan Phang menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 21 Jun.

Phang, 63, yang memakai blaus biru bercorak bunga, hadir di mahkamah pada 2.30 petang ditemani suaminya.

Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad, dan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, hadir bagi pihak pendakwaan.

Pada 10 Disember tahun lepas, Phang, didakwa, sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan, masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 September 2005 dan 9 Mei 2006 serta antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.

Phang, yang mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah yang sama, Asmadi menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan semula kes tiga orang yang didakwa membuat tuntutan palsu berjuta ringgit dalam projek pembangunan PKFZ.

Tiga tertuduh dalam kes itu ialah Law Jenn Dong, 51, bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) iaitu syarikat kontraktor pembinaan PKFZ, Steven Abok, 51, Ketua Pegawai Operasi KDSB, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 48, dari BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ.

Asmadi menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Edmund Bon, peguam bela yang mewakili Abok, yang memohon masa untuk mengkaji dokumen berkaitan memandangkan beliau baru beberapa hari dilantik mewakili tertuduh.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Dzulkifli agar kes ketiga-tiga mereka dibicarakan bersama.

Law diwakili peguam Tan Hock Chuan manakala Tan diwakili peguam Datuk V.Sithambaram.

Abok dan Tan menghadapi dua tuduhan menipu LPK membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Tan dan Law menghadapi 24 pertuduhan menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek di PKFZ, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain