suria

BN Akan Letak Calon Mesra Rakyat Di Hulu Selangor : Hishammuddin

PUTRAJAYA: Calon yang mempunyai hubungan baik dengan masyarakat tempatan akan memastikan Barisan Nasional menang pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Calon BN akan diumumkan oleh pucuk pimpinan dan berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, calon itu perlu mempunyai hubungan baik dengan orang ramai dan masyarakat tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengumumkan SPR akan bermesyuarat Jumaat depan untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil di situ berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat malam tadi akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Zainal Abidin menewaskan penyandang kerusi itu ketika itu, Datuk G.Palanivel daripada BN dengan majoriti 198 undi.

Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu hari ini berkata bahawa MIC akan mencadangkan kepada BN supaya Palanivel, yang juga Timbalan Presiden MIC, dicalonkan semula bertanding di situ.

Hishammuddin berkata kemenangan BN turut bergantung kepada kempen yang akan dilakukan oleh parti-parti komponennya yang perlu bergerak sama untuk membantu Umno Selangor menghadapi pilihan raya kecil itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain