suria

Surat Untuk PM Cecah Hampir 120,000

BANGI: Hasrat seorang pelajar berusia sembilan tahun untuk menemui dan bersalam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara hampir 120,000 isi kandungan surat yang ditulis sempena Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri yang berakhir 19 Mac lepas.

Pengerusi Pos Malaysia Berhad Tan Sri Aseh Che Mat berkata surat dari Muar, Johor yang disertakan sekeping gambar bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah antara surat terbaik dipilih dalam proses pemilihan dan penjurian awal bermula Selasa lepas.

"Isi kandungan surat itu amat menarik...pelajar itu meluahkan perasaan hatinya yang berhasrat berjumpa perdana menteri (Najib) bersama datuknya dan meminta Najib membantu golongan yang susah...beliau hanya mahu bersalam dengan Najib memandangkan datuknya tidak berkesempatan berjumpa bapa Najib, Tun Razak pada suatu ketika dahulu," katanya membacakan isi kandungan surat itu kepada pemberita di sini, hari ini.

Aseh berkata jumlah penyertaan yang diterima amat membanggakan yang menunjukkan betapa tinggi hasrat para pelajar berkongsi pelbagai idea seperti aspek pembangunan, sosial dan perpaduan kaum, memberi pandangan dan memahami konsep 1Malaysia.

Beliau berkata sehubungan itu, pertandingan seumpama ini mampu menjadi platform kepada golongan muda menyuarakan isi hati dan pandangan mereka berhubung visi gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, pertandingan itu dilancarkan sendiri oleh Najib pada 29 Disember lepas dan proses saringan awal bagi memilih dan mengasingkan surat-surat yang memenuhi syarat pertandingan sedang diadakan di Institut Latihan Pos Malaysia Berhad di sini.

Aseh berkata sejumlah 10,000 surat yang dipilih kemudian bakal diadili oleh 28 orang juri profesional dari Kementerian Pelajaran seramai 15 orang, 10 orang dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tiga dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Beliau berkata penyampaian hadiah kepada pemenang akan dilakukan sendiri oleh Najib pada satu majlis yang bakal diadakan pada minggu ketiga bulan depan di ibu pejabat Pos Malaysia Berhad di Kuala Lumpur.

Aseh berkata enam surat terbaik akan memenangi hadiah menarik dalam bentuk wang tunai, kamera digital, baucer pembelian buku dan koleksi setem, manakala dua pemenang utama akan memenangi komputer riba.

Beliau berkata semua surat itu akan disimpan dalam bentuk cakera padat untuk dijadikan sebahagian sejarah penting negara dan memberi peluang orang ramai melihatnya kembali pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain